Mengenai Saya

Foto saya
Mencintai sastera, romantis, puitis, suka menulis dan sangat menghargai setiap momen dalam hidup.

13 November 2013

Memaafkan Bukan Melupakan.

Jika ada orang tanya, sukarkah untuk kita memaafkan? Pada Maya
jawapannya ialah tidaklah sesukar melupakan. Betul kan? Sebabnya,
memaafkan boleh disebut dengan mudah walaupun belum pasti
maaf yang diucap di bibir itu turut lahir dari hati jika dibanding
dengan melupakan. Mana mungkin semudah kita melafaz kata maaf.

Realitinya, kita manusia dianugerahkan akal dan ingatan memang
tidak mudah melupakan setiap perkara yang dilalui sepanjang hayat.
Malah setiap detik yang dilalui sama ada pahit atau manis kerap
menerjah ingatan kita. Hatta, jika kita pernah terlupa, kenangan akan
kembali bersemarak jika terusik dek sesuatu keadaan ataupun sebab.

Kita berusaha melupakan seseorang yang pernah hadir dalam
hidup kita suatu ketika dulu? Apa kata, tidak perlu berusaha untuk
menghapus kenangan silam sebab sememangnya kenangan silam itu
tidak akan dapat dihapuskan. Kenangan bermaksud perkara yang
telah berlalu. Sama ada pahit ataupun manis, kenangan juga tidak
tidak mungkin akan dapat diulang semula, biarpun fakta kejadiannya
sama, sejarah tidak mungkin tercipta buat kali kedua kerana tarikh
kejadian tetap berbeza.

Namun, kehidupan adalah sesuatu yang berterusan selagi hayat dikandung
badan. Lantas cara terbaik untuk meneruskan hidup bersama kenangan
silam adalah dengan membiarkan minda kita diisi kenangan baru yang
pastinya boleh jadi lebih indah dan membahagiakan. Syaratnya kita
sendiri yang benarkan.

Sebaik-baiknya juga kita harus memaafkan dan berilah peluang kerana
kelak jika kita di tempat yang sama, akan ada orang lain yang memaafkan
dan memberi memberi peluang yang sama. Seandainya kita tidak mampu
memberi peluang setelah dikhianati dan jika itu keadaannya, kita masih perlu
memaafkan. Memaafkan bukan bererti kita melupakan, dan memaafkan
juga bukan bermaksud kita memberi peluang.

Seteruk mana pun kesalahan seseorang itu, maafkanlah walaupun
hakikatnya sukar kita terima. Maafkanlah walau tidak mampu nak
memberikan peluang yang seterusnya. Maafkanlah agar tiada lagi
sakit hati dan dendam membara, tiada lagi rasa tidak tenang dan tidak
tenteram di dalam jiwa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan